-->
©ChumChumLee. Dikuasakan oleh Blogger.
Welcome To My Blog

Pengalaman Seram Ditindih Makhluk Halus

Makhluk halus sememangnya satu makhluk ciptaan Allah yang tidak dapat kita lihat melalui mata kasar kita. Hanya kehadirannya yang mampu kita rasai yang mungkin kadang-kala hanya mainan perasaan kita yang takut atau sememangnya benar ianya hadir, yang mungkin berhampiran, bersebelahan, di belakang atau mungkin duduk berhadapan dengan kita, yang pastinya kita tidak tahu. Sudah banyak juga cerita-cerita seram yang telah aku dengar, dan baca sendiri, cuma kadang-kala agak sukar untuk dipercayai sama ada ianya benar atau cuma ianya cerita rekaan/tambahan si pencerita.


Sampai satu hari perkara ini benar berlaku kepada diri aku, cuma aku sentiasa berasa sangsi dan dalam dilema memikirkan sama ada ianya benar atau hanya khayalan aku sahaja. Ada sesetengah mengatakan ianya hanya mainan perasaan aku, kawan aku juga ada mengatakan ianya fenomena sains yang berlaku (menurut kajian saintis) dan ada juga sesetengah yang mempercayai kata-kata aku.


Kisah ini berlaku ketika aku masih bersekolah di sekolah rendah, aku tidak ingat darjah berapa aku ketika itu, mungkin antara darjah 5 atau 6. Perkara aneh ini berlaku di rumah aku sendiri, iaitu di bilik tidur aku. Ketika itu, bilik aku dilengkapi dengan sebuah katil spring queen size pemberian nenek aku, dan kebiasaannya aku akan tidur berseorangan. Adik-adik aku ketika itu boleh dikatakan masih kecil, jadi mereka sering tidur bersama ibu dan ayah aku. Memang aku sudah biasa tidur berseorangan.

Nak dijadikan cerita, ketika itu ibu aku masih lagi menggunakan sebuah telefon nokia 3310, dan nokia inilah yang menjadi jam lonceng setiap pagi yang mengejutkan kami sekeluarga. Bunyinya memanglah nyaring dan kuat, kadang-kala rasa annoying bila dengar pagi-pagi!


Pada hari kejadian, aku tidak pasti pada pukul berapa aku terjaga, mungkin 5.00 atau 6.00 pagi, aku terjaga dek kerana bunyi jam lonceng daripada nokia ibu ku itu. Ketika itu aku sedang baring mengiring ke arah kanan berhadapan dengan tingkap bilik aku dan belakang aku jauh sedikit adalah pintu, aku kebiasaannya biarkan pintu bilik terbuka sedikit. Semasa itu, aku baring tidak berbantal (mungkin sebab banyak bergerak, jadi bantal jatuh ke lantai), manakala telinga kanan aku betul-betul menindih katil yang berspring itu,

Tetapi hari itu aku berasa lain sedikit, ketika aku terjaga , aku terdengar jam lonceng tersebut berbunyi tetapi agak perlahan (mungkin kerana ianya berada di ruang tamu, jauh dari bilik aku), tetapi bunyi tersebut kedengaran semakin kuat, seperti bunyi tersebut sedang menghala ke bilik aku. Ketika itu aku sedang menutup mata, bunyi jam lonceng tersebut semakin lama semakin kuat sehingga bunyi tersebut kedengaran sangat jelas di dalam bilik aku, pada masa yang sama aku dapat merasai seseorang memasuki bilik aku sambil membawa nokia 3310 tersebut (amat jelas kedengaran bunyi seperti orang masuk!)...

Contoh posisi tidur aku ketika itu, tetapi tiada bantal


Posisi tidur aku masih tidak berubah ketika itu, tak semena-mena, telinga kanan aku mendengar bunyi spring sedang ditekan seperti katil sedang dinaik seseorang. Tetapi bunyi spring tersebut seperti seseorang sedang menaiki katil aku secara perlahan-lahan. Aku memang dapat rasai seperti ada seseorang dibelakang aku.. memang berdebar perasaan aku ketika itu! Krik krik krik krik.. bunyi spring yang amat jelas kedengaran oleh telinga kanan aku.

Secara tiba-tiba, banggggggggggggg... ada sesuatu yang menghempap badan aku secara tiba-tiba! Memang terkejut aku ketika itu, jantung aku berdegup dengan kencang. Aku cuba untuk membebaskan diri aku daripada terus dihempap, tetapi ianya hanya sia-sia, badan aku memang tidak dapat bergerak langsung. Aku cuba hendak menjerit memanggil keluarga aku, tetapi suara aku seakan-akan tidak dapat dikeluarkan, aku seperti orang yang sedang dalam keadaan lemas di dalam air ketika hendak menjerit.


Badan aku terasa amatlah berat, dan aku ditekan dengan sangat kuat, sehingga tubuh aku tidak dapat bergerak. Dalam hati aku, aku cuba membaca segala ayat Al-Quran yang aku tahu, tetapi usaha tersebut tidak membuahkan hasil, aku tetap dihempap benda tersebut! Aku tidak putus ingat kepada Allah dan membaca segala ayat Al-Quran, aku juga turut beristighfar. Selepas berapa lama kemudian, aku terus tidak sedarkan diri, dan terus tertidur.

Aku tersedar daripada tidur dan mendapati hari telah pun pagi, matahari telah pun menyinar..  aku berasa lega sedikit kerana perkara tersebut telah berlaku.. tetapi aku masih tertanya-tanya, adakah perkara tersebut benar berlaku atau hanya mainan perasaan aku! Tapi aku memang pasti yang aku terjaga pada ketika itu! Tetapi aku tidak menceritakan kepada sesiapa tentang hal tersebut.

Selang beberapa ketika (aku tidak pasti dalam berapa hari), perkara aneh ini berlaku sekali lagi! Posisi aku tidur juga sama seperti sebelum ini, dan bunyi itu sekali lagi datang ke bilik aku diikuti dengan bunyi seseorang memasuki bilik aku. Aku ketika itu berasa amat takut apabila sekali lagi mendengar bunyi spring katil aku ditekan secara perlahan menandakan ada benda yang sedang menaiki katil aku, perkara tersebut sebenarnya belaku dengan pantas. Dek kerana aku sangat takut dihempap sekali lagi, aku dengan berani terus memandang ke arah belakang... dan aku ternampak...
--
--
--
--
--
--
--
--
--
--
--
--
--
--
--
--
--
--
--
--
--
--
--
--
--
--
--
--
--
Sekali aku pusing untuk pandang ke belakang, aku dapati tiada sesiapa di belakang aku.. waktu itu keadaan agak gelap, aku dapat melihat agak samar-samar dengan bantuan lampu bulan aku rasa (aku tak pasti, tetapi aku dapat melihat sedikit) .. memang tiada siapa yang sedang menaiki katil aku ketika itu. Jantung aku berdegup sangat kencang, memikirkan aku akan nampak sesuatu jika aku pusing! Syukur Alhamdullillah, tiada apa-apa ketika itu. Tanpa membuang masa, aku terus mengambil wuduk dan melakukan solat taubat dan hajat. Aku sangat bersyukur dihindarkan perkara sebegitu lagi, Selepas hari tersebut, kejadian aneh tersebut tidak lagi menganggu aku.. namun kadang-kala aku tertanya-tanya sebab apa ianya datang menghempap aku!

Adakah mungkin benda tersebut hendak mengejutkan aku untuk solat?

Tetapi kenapa ianya menghempap aku, jika hendak mengejutkan aku solat..

Atau mungkin benda tersebut hendak menghalang aku daripada bangun untuk solat?

Persoalan ini sering berlegar-legar di benak fikiran aku.. namun aku pasti semua ini adalah hikmah daripada Allah supaya aku sentiasa mengingati-Nya. Memang tidak dinafikan, sejak peristiwa tersebut, aku semakin dekat dengan Allah, sentiasa berusaha melakukan yang terbaik dalam menjalankan tanggungjawab!

Aku bersangka baik, bahawa mungkin makhluk tersebut pasti menolong aku!


Tiada ulasan

Terima kasih membaca